Pada
era globalisasi ini, gejala AIDS yang sedang merebak dengan cepat bukan
sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Penyakit AIDS merupakan
singkatan perkataan Bahasa Inggeris ‘Acquired Immune Defiency Syndrome’
iaitu Sindrom Kurang Daya Melawan Penyakit. Penyakit AIDS adalah
disebabkan oleh HIV iaitu ‘Human Immuneodeficiency Virus’. Virus
tersebut akan merosakkan sistem imun badan kita dan menyebabkan kita
mudah dijangkiti penyakit lain. Kadar kematian penjangkit AIDS adalah
sangat tinggi kerana belum terdapat penawar yang berupaya mengubati
penyakit tersebut.
Faktor
dominan yang menyebabkan penyakit AIDS berleluasa ialah kekurangan
kesedaran tentang bahaya penyakit AIDS dan kurang mengamalkan amalan
gaya hidup sihat. Golongan yang kurang berakhlak mengamalkan pergaulan
seks bebas iaitu melakukan hubungan seks dengan ramai orang tanpa
memikirkan kesudahannya. Selain itu, mereka juga melakukan hubungan seks
dengan orang yang tidak mempunyai ikatan perkahwinan yang sah.
Misalnya, kegiatan pelacuran dan homoseksual telahpun menjadi gejala
sosial yang tidak bermoral. Akibat daripada amalan-amalan tersebut,
penyakit AIDS dapat merebak secara meluas kerana virus HIV akan
dijangkiti melalui hubungan seks yang tidak terkawal. Jika seseorang
pembawa HIV, maka sesiapa yang melakukan hubungan seks dengannya akan
terdedah kepada bahaya HIV dan kadar jangkitan terhadap penyakit
tersebut adalah tinggi.
Selain
itu, penyakit HIV boleh merebak melalui perkongsian jarum suntikan yang
sudah dicemar oleh darah pembawa HIV. Kejadian tersebut berlaku
terutama dalam kalangan penagih dadah yang kekurangan wang untuk membeli
jarum suntikan baru daripada pembekal dadah. Oleh hal yang demikian,
mereka terpaksa berkongsi jarum dengan penagih dadah yang lain. Jadi,
mereka mudah terdedah kepada risiko dijangkiti HIV. Darah yang
mengandungi HIV akan dipindahkan ke tubuh orang lain melalui perkongsian
jarum suntikan. Mereka hanya mementingkan kenikmatan semata-mata tanpa
menghiraukan kesan jangka panjang yang akan berlaku terhadap mereka.
Oleh itu, hampir 60 peratus daripada jumlah penjangkit AIDS atau pembawa
virus HIV terdiri daripada golongan penagih dadah.
Seterusnya,
kekurangan pengetahuan tentang penyakit AIDS juga menyumbang kepada
peningkatan bilangan pesakit AIDS. Rakyat seharusnya dibekalkan
informasi tentang penyakit AIDS supaya menjadi tanggungjawab mereka
untuk melakukan pemeriksaan darah secepat mungkin. Tindakan ini adalah
untuk mengetahui sama ada mereka ialah pembawa HIV yang berkemungkinan
besar akan menyebarkan virus tersebut melalui hubungan seks rambang,
pemindahan darah, ataupun melalui penyusuan ibu kepada anak. Jelaslah
kepada kita betapa pentingnya bagi rakyat menyedari tentang bahaya
penyakit AIDS yang bukan sahaja memudaratkan kesihatan tetapi boleh juga
mengancam nyawa seseorang.
Setiap
jenis penyakit pasti ada ubatnya. Tetapi lain pula dengan AIDS.
Penyakit ini tiada ubat yang khusus untuk mengatasinya. Oleh sebab masih
belum ada penawar untuk AIDS, usaha terbaik untuk menangani penyakit
ini adalah melalui usaha pencegahan. Usaha pencegahan yang dilakukan
adalah mendidik orang ramai tentang AIDS. Mesej pendidikan AIDS perlu
tertumpu kepada gaya tingkah laku seksual seperti menggunakan kondom,
melakukan hubungan seks yang selamat, mengelakkan bertukar-tukar
pasangan seks, atau mengelak daripada mengunjungi pekerja seks. Tambahan
pula, perkongsian jarum suntikan dalam kalangan penagih dadah juga
dapat dielakkan melalui pendidikan AIDS,.Tambahan lagi, usaha pendidikan
AIDS membentukan nilai keperibadian dan kemujaraban yang akhirnya akan
menjadi benteng yang kukuh untuk menangani jangkitan wabak.
Langkah
yang tidak boleh dikesampingkan untuk mencegah perebakan AIDS ialah
mengelakkan terus seks luar nikah, setia kepada pasangan serta menjauhi
hubungan homoseksual. Pelbagai langkah pencegahan telahpun dilaksanakan
oleh banyak pihak untuk mengawal penyakit ini daripada merebak. Kerajaan
mewartakan Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang
mensyaratkan supaya semua penyakit jangkitan HIV dilaporkan di klinik
berdekatan. Seterusnya, kerajaan harus mewajibkan semua bakal pengantin
untuk menjalani ujian HIV sebelum berkahwin. Syarat ini dikenakan kerana
status kesihatan pasangan adalah sangat penting sebelum mereka
berkahwin. Sesi kaunseling akan diberikan kepada pasangan yang ingin
meneruskan perkahwinan mereka walaupun setelah mengetahui pasangannya
adalah HIV positif.
Kesimpulannya,
AIDS merupakan penyakit yang belum ada ubatnya. ,Penyakit HIV AIDS ini
mendatangkan kesan yang amat buruk dan kesan yang lama. Bagi golongan
yang tidak berdosa seperti anak-anak yang dilahirkan oleh ibu yang
mempunyai jangkitan yang berbahaya ini akan memberi impak kepada anak
tersebut. Jadi, penyakit AIDS yang lama mengancam ketenteraman kehidupan
manusia haruslah dibasmi demi kesejahteraan manusia sejagat. Kerjasama
antara pelbagai pihak adalah sangat penting bagi menyelesaikan masalah
AIDS yang merupakan peragut nyawa sebelum keadaan ini bertambah serius.
contoh esei STPM..
ReplyDeleteperfect + complete..