25 July 2012

cara-cara memupuk semangat perpaduan di sekolah

   Perpaduan negara merujuk kepada satu bentuk penyatuan pelbagai kelompok yang mempunyai latar belakang sosial, agama, budaya, dan bahasa yang berbeza di bawah satu bentuk identiti nasional yang lebih khusus serta dapat diterima oleh majoriti golongan etnik di negara ini. Sejak merdeka sehinggalah mutakhir ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan yang bertujuan mencapai perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Di Malaysia, penghayatan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara dalam kalangan rakyat mampu melahirkan masyarakat Malaysia bersatu padu dalam pelbagai aspek.

   Meninjau kepada Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib, telah memberikan penekanan kepada sistem persekolahan yang sama; bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan kurikulum sekolah yang sama dan bercorak kebangsaan. Jelaslah bahawa sistem pendidikan ialah satu kaedah untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan kaum. Selain itu, penekanan kepada sikap berbangga menjadi warganegara Malaysia perlu diterapkan dalam jiwa pelajar. Hal ini boleh dilakukan melalui pelbagai pertandingan, sambutan bulan kemerdekaan, dan hari patriotik.

   Dalam situasi sekolah, memupuk semangat muhibah dan semangat toleransi antara kaum sangat penting. Hal ini dapat membantu menimbulkan perpaduan kaum serta membolehkan mereka berinteraksi sesama mereka. Setiap subjek yang diajarkan di sekolah juga harus menitikberatkan aspek-aspek pendidikan yang harmonis. Nilai-nilai rohani dan budaya bersama perlu diberikan keutamaan dalam setiap subjek. Maka, semangat perpaduan perlu merentasi kurikulum untuk membentuk dan menguatkan peribadi dan moral para pelajar.

   Penubuhan sekolah wawasan yang menggabungkan ketiga-tiga buah sekolah rendah, iaitu SRK, SRJK (C), dan SRJK(T) dalam satu kawasan mampu membentuk pelajar yang bertoleransi. Pelajar akan menggunakan segala kemudahan yang ada seperti padang, kantin, dan perpustakaan secara bersama-sama. Pelajar sekolah rendah akan bergaul secara langsung apabila mereka bersukan, makan di kantin, dan semasa mengadakan hari terbuka sekolah. Oleh itu, pemupukan semangat perpaduan dapat ditanam dan disemai pada peringkat awal usia pelajar lagi.

   Perpaduan boleh diterapkan melalui aktiviti kokurikulum. Aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan seperti sukan, kelab, dan persatuan, dan ceramah haruslah dipergiat dan dipertingkatkan. Di luar sistem akademik, para pelajar harus dilibatkan dalam aktiviti pelbagai kaum seperti keluarga angkat, persatuan, dan badan beruniform. Jelaslah bahawa usaha yang diambil bagi mengukuhkan perpaduan dan integrasi perlu disahut oleh setiap lapisan masyarakat, termasuklah pelajar.

   Kesimpulannya, semua pihak haruslah berganding bahu dalam mempertingkatkan lagi nilai-nilai perpaduan dan mewujudkan masyarakat yang cinta akan negara dan saling berkerjasama antara satu sama lain ibarat "berat sama dipikul ringan sama dijinjing".

kebaikan dan keburukan telefon bimbit [sms&mms]

   Dahulu telefon bimbit dianggap sebagai satu barangan mewah, di mana telefon jenis ini dimiliki oleh orang kaya sahaja. Kini, telefon bimbit dijual dengan harga murah dan boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja.
 

   Kebaikan penggunaan telefon bimbit adalah memudahkan seseorang membuat panggilan. Di samping itu, pengguna telefon bimbit dapat menghantar SMS (Short Messages System) dan MMS (Multimedia Messages System) kepada orang lain dengan mudah dan cepat. Kemudahan ini sebenarnya dapat merapatkan hubungan antara manusia. Misalnya, syarikat Celcom, Digi dan Maxis dengan bantuan satelit dapat membantu pengguna telefon bimbit untuk menghubungi sesiapa sahaja di mana juga dia berada dan pada bila-bila masa.
   
   Penggunaan telefon bimbit ini juga membantu seseorang mendapatkan informasi terkini. Contohnya, masa. Selain itu, telefon bimbit membolehkan muat turun (download) pesanan secara langsung dalam beberapa minit sahaja. Misalnya, Jabatan Pengangkutan Jalan telah mewajibkan semua kenderaan berat untuk melekatkan nombor SMS (no 39900 bagi JPJ Pulau Pinang) di belakang kenderaan supaya mereka akan mendapat informasi mengenai pemandu yang berbahaya di jalan raya. Cara ini dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya
   
   Sebaliknya, penggunaan telefon bimbit ini juga mempunyai keburukan. Sering terdapat gangguan daripada pihak yang tidak dikenali dan berlaku penyebaran khabar angin. Di samping itu, terdapat juga pesanan atau panggilan berunsur lucah mengganggu pengguna telefon bimbit, terutama pengguna wanita. Kelakuan sedemikian boleh menyebabkan keruntuhan moral di kalangan generasi muda.

   Penggunaan telefon bimbit yang keterlaluan akan menyebabkan pembaziran wang. Kadar setiap panggilan menggunakan telefon bimbit adalah tinggi. Perbualan yang tidak penting membolehkan pengguna membazir wang. Ada pula pelajar merugikan wang ibu bapa berbual kosong dengan kawan-kawan. Apabila wang ‘prepaid’ sudah habis, mereka akan meminta wang daripada ibu bapa untuk ‘top-up’. Kadangkala mereka meminta ibu bapa membelikan set telefon bimbit yang mahal semata-mata untuk berlagak di hadapan kawan sedangkan tujuannya adalah untuk komunikasi.
  
    Kesimpulannya, penggunaan telefon bimbit ada kebaikan dan keburukan. Ia perlu digunakan sebaik-baiknya mengikut keperluan.